Monday, 23 November 2009

24 Nov - Perodua Sasar Jual 4,000 Alza

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan meningkatkan penguasaannya dalam pasaran kenderaan tempatan kepada 33.3 peratus
tahun depan susulan pengenalan kenderaan pelbagai guna (MPV) pertamanya, Alza.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, berkata syarikat itu menyasarkan menjual sehingga 4,000 unit Alza sebulan, yakin MPV itu mampu meningkatkan jualannya kerana ia direka untuk memenuhi keperluan pengangkutan keluarga dengan reka bentuk dinamik dan moden, selain harganya yang kompetitif.
Beliau berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, penguasaan pasaran Perodua adalah 31.1 peratus dan syarikat itu berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualannya tahun ini sebanyak 164,000 unit. "Berdasarkan sasaran jualan 176,000 unit kereta tahun depan, Perodua yakin sasaran meningkatkan penguasaan pasaran kepada 33.3 peratus itu mampu dicapai dibantu oleh Alza serta Myvi dan Viva yang juga mendapat permintaan baik," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pelancaran Perodua Alza di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Daihatsu Motor Ltd, Teruyuki Minoura; dan Pengarah Urusan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Osamu Oaki.
Alza yang berasal dari perkataan Sepanyol dan membawa maksud "untuk meningkat" didatangkan dalam enam warna termasuk satu warna baru iaitu unggu (Classy Purple). Warna lain ialah hitam (Ebony Black), putih (Ivory White), putih mutiara (Pearl White), kelabu (Medallion Grey) dan perak (Glittering Silver). Buat permulaan, Perodua menawarkan MPV itu dalam empat varian, iaitu versi standard dengan gear manual dan automatik serta versi premium dengan gear manual dan automatik yang ditawarkan pada harga atas jalan antara RM56,000 hingga RM64,000 seunit.
Perodua akan menawarkan versi mewah Alza dengan gear manual dan automatik mulai Mac tahun depan pada harga atas jalan antara RM67,000 dan RM70,000 seunit
.Alza antara lain dilengkapi ciri keselamatan terkini, termasuk sistem brek antikunci (ABS) dengan agihan brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA) bagi varian terpilih.
Ia juga dilengkapi stereng dengan suis audio bagi varian premium dan mewah; tempat rehat kaki dan tuil gear di panel papan pemuka untuk varian automatik, serta meter di bahagian tengah papan pemuka yang juga pertama bagi MPV nasional.

Syed Abdull Hafiz berkata, Alza yang menggunakan hampir 90 peratus kandungan tempatan dijangka akan mencetuskan daya tarikan baru kepada peminat MPV di negara ini susulan rekaannya yang menggabungkan MPV dan kereta.
"Susulan pelancaran Alza, pasaran MPV juga dijangka berkembang daripada 10 peratus daripada jualan industri keseluruhan (TIV) kini kepada 30 peratus tahun depan," katanya.

Cepat booking..March dah boleh dapat MPV kebangaan anda :p

1 comment:

  1. Join Perodua Alza Club now @ http://www.alzaclub.my.
    An Online Community/Forum/Club for Owners and Fans of Perodua Alza.

    ReplyDelete